Tiga kedai permaidani terbakar rugi RM5 juta
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Seorang peniaga permaidani kerugian RM5 juta apabila tiga kedai sederet miliknya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini musnah dalam satu kebakaran awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, seramai 15 pekerja yang tinggal dalam bangunan itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, kebakaran itu bermula dari kedai tengah sebelum api yang marak merebak sehingga menyebabkan kedai di sebelah kiri dan kanan turut terbakar.
Peniaga itu, Mohammad Ibraheem Mohd, 44, yang berasal dari Kashmir, India berkata, insiden tersebut adalah pertama kali berlaku kepadanya sejak 20 tahun terlibat dalam perniagaan menjual permaidani.
"Namun, saya reda dengan apa yang berlaku dan berserah pada Allah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Christopher Chong berkata, pihaknya mengambil masa hampir satu jam sebelum berjaya mengawal api kebakaran daripada merebak.
Menurutnya, sebanyak enam jentera dan 25 pegawai serta anggota dikerah untuk memadamkan api di tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 6.27 pagi. Bomba tiba 10 minit kemudian.
"Punca kebakaran dan taksiran kerugian masih dalam siasatan," jelasnya.